ANALISIS WACANA BERDASARKAN PENANDA WACANA ATAU WACANA RUJUKAN
1.0 PENDAHULUAN
Tatabahasa Dewan (2008) mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas ayat yang boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog dan sebagainya yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan dan lengkap (hlm. 523). Begitu pula makna yang diberikan oleh Kamus Dewan (2007), wacana bermaksud keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan, atau percakapan (hlm. 1793). Kesatuan yang dinyatakan tersebut boleh berupa bentuk lisan atau tulisan. Maka, sejumlah ayat yang terdapat dalam sesuatu media bercetak (tulisan) merupakan salah satu daripada wacana. Sejumlah ayat tersebut boleh berupa teks berita, teks ucapan, dialog, dan sebagainya. Berikut merupakan rajah tatatingkat unit bahasa.
Rajah : Tatatingkat Unit Bahasa
Tatabahasa Dewan (2008) menyatakan suatu wacana yang utuh mempunyai dua ciri utama, iaitu kohesi (tautan) dan koheren (runtutan). Namun terdapat juga ciri-ciri lain yang membantu untuk menghasilkan wacana yang baik dan utuh, antaranya termasuklah tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks (Siti Hajar Abd Aziz, 2009, hlm. 299).
Tautan (Kohesi)
Sanat Md. Nasir, 2002 (dalam Siti Hajar Abd. Aziz, 2009, hlm 302) mendefinisikan tautan sebagai hubungan antara sesuatu unit teks yang lain melalui peranti tautan. Peranti tautan pula merujuk kepada jenis tautan yang membentuk teks.
Contoh :
Saya mahu menumpu dan berfokus untuk bercakap tentang hal ehwal rakyat. Ucapan hari ini, saya dedikasikan khusus tentang kesejahteraan dan kebajikan tuan-tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian.
Frasa tentang “hal ehwal rakyat” telah digantikan dengan frasa “kesejahteraan dan kebajikan tuan-tuan, puan-puan dan anak-anak”. Unsur “kesejahteraan dan kebajikan tuan-tuan, puan-puan dan anak-anak” bertindak sebagai pancangan kepada yang digantikan iaitu “hal ehwal rakyat”. Apabila unsur yang dipancang tersebut mempunyai persamaan makna, dengan unsur yang digantikan, maka wacana ini dikatakan berkohesi.
Runtutan (Koheren)
Runtutan bertujuan untuk melihat aspek yang menyebabkan sesuatu teks itu bermakna secara semantiknya (Siti Hajar Abd Aziz, 2009, hlm. 314). Secara mudahnya runtutan ini bermaksud kesinambungan makna antara satu ayat dengan ayat yang berikutnya. Sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana yang baik jika teks tersebut mempunyai makna yang dapat difahami. Maka, jelas bahawa runtutan akan menjadi faktor kepada ciri wacana yang baik.
Contoh :
Kendatipun, negara sedang berada di dalam kemelut ekonomi yang diakibatkan kemelesetan global tidak bermakna kita harus putus asa dan menyerah kalah dengan situasi. Di dalam setiap krisis pasti ada peluang yang mencelah. Marilah kita menggunakan waktu krisis ini untuk membina kapasiti pertumbuhan yang lebih baik di kala ekonomi dunia telah pulih.
Diterangkan dalam ayat pertama berkaitan isu kemerosotan ekonomi. Manakala dalam ayat kedua juga dinyatakan perincian berkaitan aspek kemorosotan ekonomi. Maka, jelas bahawa wacana ini mempunyai koheren dan saling beruntutan. Walau bagaimanapun, terdapat juga ciri-ciri lain yang membantu untuk menghasilkan wacana yang baik dan utuh, antaranya termasuklah tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks (Siti Hajar Abd Aziz, 2009, hlm. 299). Berikut merupakan rajah berkaitan ciri-ciri wacana yang baik.
Rajah Ciri-Ciri Wacana Yang Baik.
2.0 ANALISIS DARI ASPEK PENANDA WACANA/RUJUKAN WACANA
Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi mempertalikan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Penanda wacana amat penting dalam sesebuah teks kerana penanda wacana dapat mewujudkan pertautan atau kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk kesatuan. Penanda wacana juga merupakan unsur-unsur bahasa yang mewujudkan kohesi dan koheran antara satu teks dengan teks yang lain sehingga membentuk kesatuan.
Artikel bertajuk “Mendepani Cabaran Pemartaban Bahasa Melayu di Sarawak” karya Dr. Hazami Jahari (menerusi majalah Dewan Bahasa, September 2015) telah dipilih untuk dianalisis berkaitan aspek penanda wacana atau rujukan wacana. Jelas bahawa artikel ini mempunyai ciri kohesi dan koherennya sehingga ia membentuk satu wacana yang utuh. Hal ini kerana, terdapat pertalian, pertautan dan runtutan dalam ayat atau perenggan bagi artikel tersebut.
Selain itu, pengarang juga menggunakan banyak penanda dan rujukan wacana dalam artikel beliau. Hal ini mengukuhkan lagi bahawa artikel ini merupakan sebuah artikel atau rencana yang baik kerana mempunyai kohesi dan koherennya tersendiri. Terdapat lima jenis penanda wacana sebagaimana contoh di bawah:
Rajah : Lima Jenis Penanda Wacana
2.1 PENANDA PENGHUBUNG
Contoh penanda wacana atau penanda kohesi dalam wacana “Mendepani Cabaran Pemartaban Bahasa Melayu di Sarawak” ialah walau bagaimanapun, akhirnya, namun, oleh hal yang demikian, malah, maka, lantaran itu, di samping itu, selanjutnya, seterusnya, pertama, kedua, dan, kerana, pun demikian, serentak dengan itu, secara keseluruhan. Contoh yang dinyatakan tersebut merupakan penanda penghubung.
Jadual : Perincian Penanda Wacana dalam Artikel “Mendepani Cabaran Pemartaban Bahasa Melayu di Sarawak”
PENANDA WACANA YANG DIKENAL PASTI DALAM ARTIKEL
|
JENIS PENANDA WACANA
|
Walau bagaimanapun, namun, malah, pun demikian, dengan kata lain
|
Penanda penghubung tentangan
|
Akhirnya, seterusnya, selanjutnya, pertama, kedua, serentak dengan itu
|
Penanda penghubung tempoh
|
Oleh hal yang demikian, kerana, lantaran itu, maka
|
Penanda penghubung musabab
|
Di samping itu, dan,
|
Penanda penghubung tambahan
|
Contoh wacana di bawah merupakan wacana yang kohesif. Kekohesifan tersebut ditunjukkan dengan adanya penanda wacana walau bagaimanapun dan namun begitu.
Contoh:
Penyerahan Sarawak kepada British menimbulkan gerakan antipenyerahan, terutamanya di Kuching dan Sibu. Kesan daripada itu, gabenor British pertama, iaitu Sir Duncan Stewart telah dibunuh oleh Rosly Dhoby semasa melawat Sibu pada tahun 1949.
Walau bagaimanapun, peristiwa pembunuhan Sir Duncan Stewart itu tidak menjejaskan pengambilalihan Sarawak oleh British sehingga 22 Julai 1963 apabila Sarawak mencapai status berkerajaan sendiri. Namun begitu, pemimpin Sarawak masih lagi tertakluk kepada arahan dan kuasa penjajah.
Data di atas merupakan contoh wacana yang kohesif. Hal ini kerana terdapatnya penanda wacana yang menghasilkan pertautan dan runtutan dalam setiap ayat. Penanda wacana “walau bagaimanapun” dan “namun begitu” merupakan penanda penghubung tentangan. Penanda penghubung tentangan ini menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu ayat yang baru diperkatakan dengan ayat sebelumnya. Penanda penghubung tentangan ini berfungsi sebagai penjalin unsur-unsur linguistik. Tanda koma (,) digunakan sekiranya penanda wacana hadir pada awal ayat. Kehadiran kedua-dua penanda penghubung tentangan dalam wacana di atas bersesuaian dengan konteks ayat sebelum dan selepasnya.
Selain penanda penghubung tentangan, wacana “Mendepani Cabaran Pemartaban Bahasa Melayu di Sarawak” karya Dr Hazaimi Jahari juga mengandungi penanda penghubung tambahan.
Contoh:
Tumpuan utama adalah kepada penggalakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi bagi jabatan negeri dan persekutuan. Usaha dikhususkan kepada memantapkan pengetahuan dan penguasaan bahasa dalam kalangan kakitangan awam melalui kursus, bengkel, seminar kesedaran dan pertandingan pengucapan awam. Di samping itu, kajian terhadap bahasa sukuan di Sarawak digiatkan bagi memastikan bahasa sukuan tersebut terus digunakan dan dapat menyumbang kepada kosa kata bahasa kebangsaan.
Penanda wacana “di samping itu” merupakan penanda penghubung tambahan. Penanda penghubung tambahan memberikan maklumat tambahan terhadap sesuatu perkara (Siti Hajar Abd Aziz, 2009). Penanda wacana “di samping itu” menjadi titi penghubung antara ayat sebelum dan selepasnya. Berdasarkan data di atas, ayat kedua tersebut merupakan usaha tambahan selepas program penguasaan bahasa dalam kalangan kakitangan awam melalui kursus, bengkel, seminar kesedaran dan pertandingan pengucapan awam dalam menggalakan penggunaan bahasa Melayu.
Penanda penghubung tempoh seperti “selanjutnya”, “seterusnya”, “pertama”, “kedua”, “akhirnya”, “serentak dengan itu” turut dikenal pasti menerusi wacana “Mendepani Cabaran Pemartaban Bahasa Melayu di Sarawak”. Siti Hajar Abd Aziz (2009) menyatakan, penanda penghubung tempoh membawa maksud urutan masa atau turutan peristiwa atau kronologi sesuatu perkara yang diterangkan oleh penulis.
Contoh:
Anthony Brooke kembali sebagai raja Sarawak dalam keadaan tidak bersedia sepenuhnya untuk mentadbir semula negeri yang luas dan terjejas kesan pendudukan Jepun. Akhirnya, pada tahun 1948, Sarawak diserahkan kepada Kerajaan British sebagai tanah jajahan.
Penggunaan penanda wacana “akhirnya” menunjukkan akibat yang terhasil daripada kesan pendudukan Jepun. Penanda wacana tersebut menunjukkan pengakhiran kronologi peristiwa pendudukan Jepun di Sarawak. Sama juga seperti contoh data di bawah. Penggunaan “pertama” dan “kedua” menunjukkan turutan peristiwa sesuatu perkara yang diterangkan oleh penulis atau pengarang.
Contoh:
Dalam konteks di Sarawak, perancangan dan pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan dihalakan kepada dua tumpuan utama. Pertama, peningkatan penggunaan bahasa kebangsaan dalam dokumen dan urusan rasmi kerajaan. Seterusnya, dalam acara rasmi termasuk pengendalian mesyuarat, taklimat jabatan dan pengendalian majlis rasmi kerajaan dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan. Kedua adalah menjurus kepada peningkatan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat awam.
Walau bagaimanapun, jika diteliti menerusi data di atas, penggunaan penanda penghubung tempoh “seterusnya” tidak bersesuaian dengan konteks wacana tersebut. Penanda wacana “seterusnya” wajar digantikan dengan penanda wacana “contohnya”.
Penanda penghubung musabab ialah penanda yang merupakan sebab berlakunya sesuatu. Penanda penghubung musabab yang ditemui dalam analisis artikel ini ialah “oleh hal yang demikian”, “kerana”, “lantaran itu”, “maka”.
Contoh :
Secara langsung, semua perkara berkaitan dengan pentadbiran dan pembangunan diatur dan diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan negeri diketuai Ketua Menteri. Sementara gabenor (kemudian Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri) merupakan ketua negeri bagi negeri Sarawak.
Oleh hal yang demikian, dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri ini, sebahagian daripada undang-undang, peraturan dan tatacara kerja masih lagi menggunakan dan meneruskan apa yang terpakai semasa pemerintahan keluarga Brooke dan British.
Berdasarkan penggunaan “oleh hal yang demikian”, jelas menunjukkan ia merupakan penanda penghubung musabab. Maksud penanda penghubung musabab merupakan sebab berlakunya sesuatu. Penggunaan “oleh hal yang demikian” dalam perenggan kedua menunjukkan sambungan dan rentetan daripada perenggan pertama.
2.2 PENANDA RUJUKAN
Penanda rujukan melibatkan rujukan terhadap ganti nama diri dan ganti nama tunjuk. Rujukan ganti nama diri melibatkan ganti nama diri orang pertama, kedua dan ketiga. Walau bagaimanapun, dalam rencana bertajuk “Mendepani Cabaran Pemartaban Bahasa Melayu di Sarawak” karya Dr. Hazami Jahari hanya dua rujukan ganti nama diri digunakan iaitu “nya” dan “beliau”. Kata ganti nama ketiga “nya” dan “beliau” merupakan kata ganti nama diri ketiga (Tatabahasa Dewan, 2008).
Contoh:
Pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pentadbiran kerajaan negeri Sarawak diperkukuh oleh pengumuman Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud (Tun Pehin Sri), Ketua Menteri Sarawak. Dalam ucapannya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri itu, beliau menyarankan semua urusan rasmi kerajaan negeri perlu menggunakan bahasa kebangsaan.
Dalam bahasa Melayu, penanda penunjuk terdiri daripada perkataan ini, itu, sini dan situ. Contoh penanda rujukan penunjuk yang terdapat dalam rencana ini ialah “itu” dan “situ”.
Contoh 1:
“Dalam ucapannya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri itu, beliau menyarankan semua urusan rasmi kerajaan negeri perlu menggunakan bahasa kebangsaan”.
Contoh 2:
Detik itu, barulah Sarawak secara mutlak bebas daripada penjajahan
Contoh 3:
Bertitik tolak daripada situlah, penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran di Sarawak menjadi lebih giat dan menyeluruh.
Terdapat juga sistem panggilan atau gelaran seperti “Sir” digunakan dalam artikel ini. Misalnya, Sir Duncan Stewart dan Sir Alexander Waddel. Kata panggilan atau gelaran “sir” ini merujuk kepada makna “tuan”. Kata “sir” digunakan sebagai tanda hormat kepada golongan tertentu.
Selain itu, terdapat juga rujukan ganti nama yang berupa gelaran jawatan bagi seseorang individu. Contohnya “Tan Sri”, “Tun”, “Datuk patinggi Haji” dan “Datuk Abang”.
Contoh:
Datuk Abang Openg Sapie (Allahyarham Tun)
Datuk Patinggi Haji Abdul Tain Mahmud
Berdasarkan contoh di atas, gelaran jawatan “Datuk” merupakan gelaran darjah yang dikurniakan kepada seseorang. Manakala, darjah “haji” merupakan gelaran kepada individu Islam yang telah menunaikan ibadah haji.
2.3 PENANDA PENGGANTIAN.
Idris Aman (2010) menyatakan penggantian adalah pertukaran bagi sesuatu segmen kata, frasa atau klausa oleh kata ganti yang lainnya. Penanda penggantian terdiri daripada penanda penggantian nominal, verbal dan klausal.
Penggantian nominal ialah penggantian yang dilakukan terhadap kata nama atau frasa nama, manakala penggantian verbal melibatkan penggantian terhadap kata atau frasa kerja dan penggantian klausa pula melibatkan penggantian sebahagian daripada ayat.
Contoh:
Sejarah dan latar belakang negeri Sarawak agak berbeza daripada Semenanjung Malaysia. Negeri yang terbesar di Malaysia ini pernah tercatat dalam sejarah sebagai sebahagian daripada wilayah Kesultanan Brunei seketika abad ke-14 sehingga tahun 1900.
Dalam contoh di atas, perkataan “negeri yang terbesar di Malaysia” menggantikan sebahagian ayat sebelumnya, iaitu “negeri Sarawak”. Penggantian seperti ini merupakan penggantian klausa. Selain itu, terdapat juga penggantian bagi frasa kerja seperti contoh di bawah:
Contoh:
Kedatangan James Brooke ke Sarawak pada tahun 1840 dengan tujuan membantu mengamankan Sarawak daripada ancaman pemberontak atau lanun mengakibatkan penyerahan satu persatu daerah naungan Kesultanan Brunei kepada pengembara Inggeris ini.
3.0 KESIMPULAN
Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi merangkai ayat untuk melanjutkan sesuatu maklumat . Kegagalan dalam penggunaan penanda wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh wacana tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap.
RUJUKAN
Hazami Jahari. (2015, September). Mendepani Cabaran Pemartaban Bahasa
Melayu di Sarawak. Dewan Bahasa, 9, 8-11.
Idris Aman. (2010). Analisis wacana. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Kamus Dewan (edisi keempat). (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Nik Safiah Karim, Farid M Onn, Hashim Hj Musa dan Abdul Hamid Mahmood.
(2008). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Siti Hajar Abd Aziz. (2009). Siri pendidikan guru Bahasa Melayu II. Petaling
0 ulasan:
Catat Ulasan